8:00 pagi
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan status terkini henti tugas loji-loji rawatan air iaitu LRA Semenyih 2, LRA Sg Langat, LRA Langat 2 dan LRA Cheras Batu 11 berikutan peningkatan paras air serta penutupan bekalan elektrik kecemasan semalam, 19 Disember 2021.
Setakat jam 7:00 pagi, maklumat terkini bagi loji-loji rawatan air yang telah dihenti tugas adalah seperti yang berikut:
1. Bagi LRA Semenyih 2, operasi telah dimulakan dan bekalan air bersih akan dibekalkan semula kepada pengguna di kawasan yang terjejas secara berperingkat-peringkat. Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 10:00 malam, 20 Disember 2021.
2. Bagi LRA Sg Langat, operasi telah dimulakan sepenuhnya. Proses pemulihan bekalan akan diumumkan kelak.
3. Bagi LRA Langat 2, proses pengepaman air mentah telah dimulakan. Proses pemulihan bekalan akan diumumkan kelak.
4. Bagi LRA Cheras Batu 11, proses pembersihan loji rawatan air berikutan insiden banjir sedang dilaksanakan.
Jangkaan untuk LRA Cheras Batu 11 beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa ini. Air Selangor juga perlu memastikan semua peralatan di loji rawatan air berada dalam keadaan baik dan boleh dioperasikan tanpa membahayakan keselamatan kakitangan Air Selangor terutamanya melibatkan arus elektrik.
Bantuan alternatif melalui lori tangki air masih lagi digerakkan secara berperingkat ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini. Air Selangor juga ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki.
Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa. Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-