4:00 petang
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan status terkini henti tugas sementara Loji Rawatan Air Langat 2 (LRA Langat 2) berikutan insiden pencemaran minyak di Sungai Semantan, Karak, Pahang akibat daripada kes kemalangan di Lebuhraya Karak-Bentong KM75.9 menuju Kuala Lumpur semalam.
Sehingga jam 3:30 petang, LRA Langat 2 telah mula beroperasi semula bagi membolehkan proses rawatan air mentah dimulakan. Bekalan air terawat akan mula disalurkan kepada para pengguna secara berperingkat-peringkat apabila sistem agihan bekalan air telah distabilkan.
Berikutan itu, bekalan air di kesemua 397 kawasan yang terjejas di tiga wilayah Air Selangor iaitu Petaling (3 kawasan), Kuala Lumpur (172 kawasan) dan Hulu Langat (222 kawasan) dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 8:00 malam, 12 Ogos 2022. Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.
Bantuan alternatif melalui lori tangki akan terus digerakkan kepada para pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal. Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas.
Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa. Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-