9:30 malam
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan status terkini henti tugas sementara Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sg Semenyih) berikutan insiden pencemaran yang telah dikesan di muka sauk Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.
Setakat jam 9 malam, kerja-kerja pembersihan dan proses rawatan air di LRA Sg Semenyih sedang giat dilaksanakan dan telah mencapai tahap 59%. Bekalan air bersih dijangka akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna bermula jam 12.30 pagi, 1 Mei 2022.
Sehubungan itu, bekalan air di kawasan-kawasan terjejas dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 3:00 petang, 1 Mei 2022. Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
Bantuan alternatif melalui lori tangki masih lagi digerakkan kepada para pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal. Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas.
Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa. Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-