4:30 petang
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan bahawa kerja-kerja kecemasan pembaikan paip pecah di Hub Pasar Seni, Kuala Lumpur sedang giat dilaksanakan.
Walau bagaimanapun, Air Selangor sedang berusaha meminimakan impak kepada pengguna dan telah menyalurkan bekalan air alternatif ke kawasan-kawasan yang terkesan. Sehingga jam 3:00 petang, status pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas telah mencapai 66%. Senarai kawasan yang masih belum pulih boleh disemak di Lampiran A.
Tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air. Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 9:00 pagi, 9 Oktober 2024 (Rabu).
Air Selangor telah menggerakkan lori-lori tangki air dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian di sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
Para pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini daripada semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.
-TAMAT-