10:30 malam
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan bahawa kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di Loji Rawatan Air Sungai Rasa (LRA Sg Rasa) masih dijalankan dan mengalami sedikit kelewatan. Kerja-kerja tersebut kini dijangka siap pada jam 12:00 tengah malam, 10 Ogos 2022 (Rabu).
Namun begitu, kelewatan dalam pelaksanaan kerja-kerja ini tidak akan menjejaskan pemulihan penuh bekalan air kepada para pengguna di 188 kawasan terjejas di wilayah Hulu Selangor. Bekalan air dijangka akan mula disalurkan kepada para pengguna bermula jam 1:00 pagi, 10 Ogos 2022 (Rabu) secara berperingkat-peringkat setelah kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan siap, dan seterusnya apabila sistem agihan bekalan air telah distabilkan. Bekalan air masih dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 1:00 pagi, 11 Ogos 2022 (Khamis).
Air Selangor akan terus menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300. Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-