7:30 pagi
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan bahawa kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di Loji Rawatan Air Sungai Rasa (LRA Sg Rasa) telah siap dilaksanakan pada jam 5:30 pagi, 10 Ogos 2022 (Rabu). Kelewatan ini adalah disebabkan oleh isu-isu teknikal di tapak kerja.
Berikutan itu, bekalan air dijangka akan mula disalurkan kepada para pengguna bermula jam 8:00 pagi, 10 Ogos 2022 (Rabu) secara berperingkat-peringkat apabila sistem agihan bekalan air telah distabilkan. Bekalan air kini dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 8:00 pagi, 11 Ogos 2022 (Khamis).
Air Selangor memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang dialami oleh pihak pengguna dan akan berusaha bagi memastikan proses pemulihan bekalan di 188 kawasan yang terjejas berjalan dengan lancar.
Air Selangor akan terus menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300. Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-