9:30 malam
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan berkenaan status terkini pemulihan bekalan air berikutan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Bukit Nanas (LRA Bukit Nanas) akibat insiden peningkatan warna dalam air terawat di LRA Bukit Nanas.
Sehingga jam 9:00 malam, peratusan pemulihan bekalan air bagi kawasan-kawasan yang terlibat telah mencapai 90%. Proses pemulihan mengalami kelewatan bagi memastikan parameter kualiti air menepati piawaian yang ditetapkan. Senarai kawasan yang masih belum pulih adalah seperti di Lampiran A.
Tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
Air Selangor ingin menyarankan para pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.
Air Selangor terus giat menggerakkan lori tangki air secara aktif untuk kawasan-kawasan yang masih terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
Para pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/. Para pengguna juga boleh mendapatkan maklumat daripada saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.
-TAMAT-