10:00 malam
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan berkenaan status terkini pemulihan bekalan air berikutan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Bukit Nanas (LRA Bukit Nanas) akibat insiden peningkatan warna dalam air terawat di LRA Bukit Nanas.
Sehingga jam 9:00 malam, pemulihan bekalan dan kualiti air di peringkat agihan sedang giat dijalankan. Senarai kawasan yang terjejas adalah seperti di Lampiran A.
Tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air serta pemulihan parameter kualiti air bagi menepati piawaian yang ditetapkan.
Air Selangor terus giat menggerakkan lori-lori tangki air ke premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
Bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli dengan menghubungi Air Selangor di talian 15300. Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di stesen pengisian air yang telah dibuka di Sunway Batu Caves (wilayah Gombak).
Para pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/. Para pengguna juga boleh mendapatkan maklumat daripada saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.
-TAMAT-