Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan berkenaan status terkini pemulihan bekalan air berikutan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Labohan Dagang (LRA Labohan Dagang) akibat gangguan bekalan elektrik yang disebabkan oleh kerja-kerja pembaikan kecemasan peralatan elektrik di Sub Stesen Utama Olak Lempit oleh pihak TNB.
Sehingga jam 6:00 petang, status pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas telah mencapai 92.7%. Senarai kawasan yang masih belum pulih adalah seperti di Lampiran A.
Tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air. Bekalan air dijangka untuk pulih sepenuhnya pada jam 12:00 tengah malam, 25 Mei 2024 (Sabtu).
Air Selangor ingin menyarankan para pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian. Air Selangor berharap agar para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.
Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300. Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.