1:30 tengah hari
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan status terkini pemulihan bekalan air di Wilayah Klang berikutan kerja-kerja pembaikan paip pecah di Jalan Seruling 59, Taman Seri Andalas, Klang.
Sehingga jam 1:00 tengah hari, Bandar Puteri, Klang telah pulih sepenuhnya. Dalam pada masa yang sama, pemulihan bekalan air di 10 kawasan yang masih lagi terjejas sedang giat dijalankan untuk memastikan agar para pengguna di kawasan tersebut mendapat bekalan air pada pada jam 4:00 petang ini, 1 Mac 2022. Senarai kawasan yang masih lagi terjejas boleh dirujuk dalam Lampiran A.
Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.
Bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki akan terus digerakkan di kawasan yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian. Para pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki ini.
Air Selangor ingin menyarankan para pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian. Air Selangor berharap agar para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.
Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300. Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-