7:00 pagi
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikan paip pecah di Jalan Seruling 59, Taman Seri Andalas, Klang telah siap dilaksanakan pada jam 2:00 pagi, 1 Mac 2022 dan bekalan air telah mula disalurkan kepada pengguna di kawasan yang terjejas.
Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna. Bekalan air di 11 kawasan yang terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada jam 4:00 petang, 1 Mac 2022.
Bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki akan terus digerakkan di kawasan yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengkebumian. Para pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki ini.
Air Selangor ingin menyarankan para pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian. Air Selangor berharap agar para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.
Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300. Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-