7 April 2021, 4:00 petang
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan status terkini pemulihan gangguan bekalan air berjadual yang berlaku di Wilayah Kuala Lumpur dan Gombak berikutan kerja-kerja penggantian injap pada jajaran paip air mentah di Empangan Klang Gates yang menyebabkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Bukit Nanas dan Wangsa Maju pada 6 April 2021.
Sehingga jam 3:00 petang ini, peratusan pemulihan kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air berjadual adalah pada tahap 9%, yang mana 5 kawasan telah mendapat bekalan air sepenuhnya, daripada keseluruhan 58 kawasan yang terjejas di Wilayah Kuala Lumpur dan Gombak. Lima (5) kawasan yang telah pulih adalah Kementah, Pulapol, Taman Dato Ahmad Razali, Taman Putra Sulaiman dan Wangsa Maju Seksyen 4.
Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.
Air Selangor ingin menyarankan kepada para pengguna yang telah mendapat bekalan air untuk membiarkan air pili mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian. Air Selangor berharap para pengguna yang telah mendapat bekalan air untuk menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.
Air Selangor akan memaklumkan status pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas dari semasa ke semasa melalui semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor termasuk laman sesawang www.airselangor.com, aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.
-TAMAT-